Total Pageviews

Thursday 5 December 2013

MEMILIKI TANAH


Memiliki tanah persendirian adalah menjadi idaman hampir kesemua umat manusia di dunia ini. Pengalamanku hari ini memberikan pengetahuan yang baru. Bersama-sama adik, kami menuju ke pejabat tanah bagi urusan pertukaran nama daripada pemilik asal kepada nama tuan punya terbaru (kami). Dalam keadaan kebingungan dan serba tidak tahu maklumlah kali pertama buat kerja ini, aku banyak bertanya dan bergerak dari kaunter ke kaunter, bilik ke bilik selama tempoh 2 jam. Alhamdulillah, setelah mendapat kerjasama dan jawapan yang baik serta layanan mesra daripada semua pegawai dan staf yang bertugas, selesai jua misi hari ini.



Jadi, penting kepada pembaca yang berminat untuk membeli tanah buat pertama kalinya dan tiada panduan, suka citanya ingin ku kongsikan tentang tatacara @ prosedur ringkas yang perlu dilakukan agar pembaca tidak kebingungan:

1- Pastikan anda mengisi terlebih dahulu borang 14 A (jika datang berasingan dengan tuan pemilik asal tanah, pastikan borang tersebut telah lengkap diisi dan ditandatangani oleh pemilik asal). Pastikan anda membawa semua dokumen sokongan (biasanya penjual tanah akan serahkan lengkap termasuk dokumen perjanjian dan salinan kad pengenalan penjual)

2- Pastikan geran tanah tidak ada "kaveat" atas nama individu lain (di bawah sebelah muka belakang geran). Dimaklumkan tempoh "kaveat" adalah 6 tahun dari tarikh geran dikeluarkan. Dengan kata lain, geran yang perlu ada mesti hanya atas nama pemilik asal seorang sahaja. (penulis dapat geran ke-2 iaitu Cabutan Hak Milik dan tiada kaveat).

3- Dapatkan slip "Nilaian Tanah Untuk Urusniaga" di kaunter pendaftaran yang akan dinilai, ditaksir dan diisi oleh staf di bahagian Nilaian Tanah.  

4- Beli setem hasil yang nilainya 1% daripada nilai tanah semasa (nilainya ditentukan oleh staf yang berkenaan) contohnya jika nilai tanah semasa RM100,000 maka setem hasil bernila RM1,000. Tugas kita hanyalah membeli setem dan pergi ke kaunter "Duti Setem" untuk matikan setem dan perlu mengisi borang LHDN (ada maklumat pemilik asal dan pemilik baru). Jangan lupa perlu fotokopi geran asal termasuk peta & borang 14 A. Salinan tersebut beserta borang LHDN akan diambil oleh staf bahagian "Duti Setem" tersebut.

5- Ke kaunter pembayaran untuk mendapatkan "Resit Duti Setem" dan perlu membayar RM180 (pertukaran hak milik) dan cukai tanah RM 11. Cukai tanah ialah RM11 setahun dan perlu dibayar bermula Januari - Jun bagi mengelakkan didenda (tambahan RM 17).

6- Terakhir, sekali lagi ke kaunter pendaftaran untuk menyerahkan semua dokumen dan staf di kaunter tersebut akan menyerahkan slip untuk ditulis no. telefon dan jika tidak dihubungi maka tiada sebarang masalah. Geran baru akan siap dalam tempoh 2 hari bekerja sahaja.

Begitulah secara ringkas dan padat yang dapat dikongsikan buat tatapan pembaca dan mudah-mudahan menjadi panduan berguna di masa depan.

Tuesday 3 December 2013

SAIS... I'm Coming For You


Setelah hampir 2 minggu meninggalkan SAIS, hatiku teruja untuk kembali ke sekolah pada hari ini, dengan tujuan mengambil surat-surat di pejabat dan barang-barang keperluan yang lain. Buat pertama kalinya ibu bapaku turut serta melawat ke sekolah baruku ini. Walaupun sejak akhir-akhir ini selalu hujan, namun menurut sumber berita daripada whatsapp bersama rakan-rakan guru yang lain, jalan dari Kota Bharu menuju ke Setiu masih lagi boleh dilalui.

SELANGKAH KE ALAM MISTERI


Sejak seminggu ini aku asyik mendengar dan berkongsi kisah misteri di SAIS dengan beberapa pelajar-pelajar SPM baru-baru ini. Terlintas jua di hati untuk mencoretkan pengalaman diri sendiri walaupun masih dalam tempoh yang tidak lama di SAIS.

Rasanya istilah "ditindih" adalah perkataan yang popular dan mungkin ramai yang mempunyai pengalaman tersendiri. Aku pernah baca artikel penerangan saintifik di sebalik perkataan "ditindih" itu namun aku tidak ingin huraikannya di sini dan berbalik kepada cerita asal.

Kisah pertama, yang paling aku ingat ialah sewaktu kejadian tertidur selepas Asar kerana keletihan. Pabila ingin bangkit, tubuh dirasakan berat tak bermaya dan pabila dibuka kelopak mata, aku ternampak seolah-olah api yang tergantung. Aku pejamkan mata dan pabila dicelik sekali lagi masih nampak entiti yang sama cuma makin suram. Sekali lagi pabila dipejam dan dicelik kembali barulah keadaan kembali normal.

Kisah kedua, sekali lagi dikaitkan dengan isu "ditindih". Kali ini pada waktu malam, aku terasa seolan-olah ada sesuatu di depan mataku dan aku memang tidak buka kelopak mata dan meneruskan bacaan ayat Kursi sehingga tertidur dan sedar pada subuh hari.

Lembaga misteri melintasi di luar tingkap
Kisah ketiga, aku rasakan paling seram sepanjang aku berada di sekolah berasrama ini. Kejadian pada waktu senja, aku di ruang tamu dan tiba-tiba sekilas pandang ke arah tingkap (sebelah koridor) ada sesuatu melintas dengan laju. Aku sangkakan ilusi semata-mata. Hampir 2-3 minit aku berfikir sambil meneruskan larian di atas alat treadmill dan sah! Sekali lagi kelibat tersebut berlalu dan kali ini bertentangan arah. Berbekalkan keberanian yang ada, aku hampiri tingkap dan meninjau keadaan di luar. Tatkala terdengar suara pelajar-pelajar rasa lega sedikit tapi masih lagi memikirkan kejadian sebentar tadi.



Pandangan ustaz A ke arah tingkap ini
Kisah keempat, pada sebelah malam ustaz AA (warden bertugas dan kebiasaan hari bertugas beliau akan bermalam di rumah warden) datang ke bilikku dan berbual-bual ringkas. Aku yang menghadap ke pintu dan ustaz AA menghadap ke arah tingkap (belakangnya menghadap bukit). Tiba-tiba ustaz AA diam dan katanya ternampak kelibat melintas di tepi tingkap.



Begitulah sedikit sebanyak pengalaman kendiri yang dapat dikongsikan bukan niat untuk menakutkan tetapi mengajak pembaca berfikir kewujudan alam ghaib. Apapun yang berlaku, semuanya atas izin Allah s.w.t. Wallahu'alam

P/S: Suatu masa nanti akan ku paparkan pula kisah koleksi pengalaman pelajar-pelajar SAIS

Monday 2 December 2013

 PLASMA

* Dalam fizik dan kimia, plasma ialah gas terion yang dianggap sebagai satu fasa jirim ke-4 dan yang berasingan, dan yang berbeza dengan pepejal, cecair, dan gas, disebabkan sifat-sifatnya yang unik. 

* Plasma biasanya mengambil bentuk awan-awan seakan-akan gas atau alur-alur ion bercas, tetapi mungkin juga termasuk debu dan butir-butir (dipanggil debu plasma ). 

* Plasma ini biasanya dibentuk dengan memanaskan dan mengionkan sesuatu gas. Elektron-elektron yang terbebas daripada atom-atom membolehkan cas-cas positif dan negatif untuk bergerak dengan bebas.


Sila klik untuk lihat video berkenaan plasma
https://www.facebook.com/photo.php?v=10201861072801555&set=vb.1625166717&type=2&theater

Sunday 1 December 2013

 ZAMAN TRANSISI

              Sedar tak sedar, rupanya kita semakin menghampiri tahun baru masihi 2014. Sebelum tahun ini melabuhkan tirainya, ada baiknya daku mencoretkan kenangan abadi 2013. Semestinya sudah sekian lama aku tidak update blog ini. Dengan kesibukan masa dan juga masalah talian intenet.

             Perpindahanku ke sekolah baru benar-benar memmbuatkanku agak sibuk. Maklum sajalah, perlu beradaptasi, kenal orang-orang baru dan juga persekitaran baru. Semestinya memberikan pengalaman baru.

             Pengalaman di sekolah lamaku SMK Perantau Damai (SMKPD), Felda Keratong 10 diharapkan menjadi penguat semangat untukku agar terus tabah dan komited menjalankan tugas seorang guru. Semoga segala ilmu dan kemahiran yang pernah dipelajari dapat digunakan secara maksimum di SM Sains Setiu (SAIS) ini. Berikut adalah beberapa gambar kenangan yang mungkin kurang dapat dihuraikan dengan perkataan namun dengan ayat ini "a picture can tell a thousand words"


Hadiah kenangan daripada para guru dan pelajar SMKPD
Hadiah kenangan daripada para guru dan pelajar SMKPD