Total Pageviews

Thursday 5 December 2013

MEMILIKI TANAH


Memiliki tanah persendirian adalah menjadi idaman hampir kesemua umat manusia di dunia ini. Pengalamanku hari ini memberikan pengetahuan yang baru. Bersama-sama adik, kami menuju ke pejabat tanah bagi urusan pertukaran nama daripada pemilik asal kepada nama tuan punya terbaru (kami). Dalam keadaan kebingungan dan serba tidak tahu maklumlah kali pertama buat kerja ini, aku banyak bertanya dan bergerak dari kaunter ke kaunter, bilik ke bilik selama tempoh 2 jam. Alhamdulillah, setelah mendapat kerjasama dan jawapan yang baik serta layanan mesra daripada semua pegawai dan staf yang bertugas, selesai jua misi hari ini.



Jadi, penting kepada pembaca yang berminat untuk membeli tanah buat pertama kalinya dan tiada panduan, suka citanya ingin ku kongsikan tentang tatacara @ prosedur ringkas yang perlu dilakukan agar pembaca tidak kebingungan:

1- Pastikan anda mengisi terlebih dahulu borang 14 A (jika datang berasingan dengan tuan pemilik asal tanah, pastikan borang tersebut telah lengkap diisi dan ditandatangani oleh pemilik asal). Pastikan anda membawa semua dokumen sokongan (biasanya penjual tanah akan serahkan lengkap termasuk dokumen perjanjian dan salinan kad pengenalan penjual)

2- Pastikan geran tanah tidak ada "kaveat" atas nama individu lain (di bawah sebelah muka belakang geran). Dimaklumkan tempoh "kaveat" adalah 6 tahun dari tarikh geran dikeluarkan. Dengan kata lain, geran yang perlu ada mesti hanya atas nama pemilik asal seorang sahaja. (penulis dapat geran ke-2 iaitu Cabutan Hak Milik dan tiada kaveat).

3- Dapatkan slip "Nilaian Tanah Untuk Urusniaga" di kaunter pendaftaran yang akan dinilai, ditaksir dan diisi oleh staf di bahagian Nilaian Tanah.  

4- Beli setem hasil yang nilainya 1% daripada nilai tanah semasa (nilainya ditentukan oleh staf yang berkenaan) contohnya jika nilai tanah semasa RM100,000 maka setem hasil bernila RM1,000. Tugas kita hanyalah membeli setem dan pergi ke kaunter "Duti Setem" untuk matikan setem dan perlu mengisi borang LHDN (ada maklumat pemilik asal dan pemilik baru). Jangan lupa perlu fotokopi geran asal termasuk peta & borang 14 A. Salinan tersebut beserta borang LHDN akan diambil oleh staf bahagian "Duti Setem" tersebut.

5- Ke kaunter pembayaran untuk mendapatkan "Resit Duti Setem" dan perlu membayar RM180 (pertukaran hak milik) dan cukai tanah RM 11. Cukai tanah ialah RM11 setahun dan perlu dibayar bermula Januari - Jun bagi mengelakkan didenda (tambahan RM 17).

6- Terakhir, sekali lagi ke kaunter pendaftaran untuk menyerahkan semua dokumen dan staf di kaunter tersebut akan menyerahkan slip untuk ditulis no. telefon dan jika tidak dihubungi maka tiada sebarang masalah. Geran baru akan siap dalam tempoh 2 hari bekerja sahaja.

Begitulah secara ringkas dan padat yang dapat dikongsikan buat tatapan pembaca dan mudah-mudahan menjadi panduan berguna di masa depan.

No comments:

Post a Comment