Total Pageviews

Tuesday 3 December 2013

SELANGKAH KE ALAM MISTERI


Sejak seminggu ini aku asyik mendengar dan berkongsi kisah misteri di SAIS dengan beberapa pelajar-pelajar SPM baru-baru ini. Terlintas jua di hati untuk mencoretkan pengalaman diri sendiri walaupun masih dalam tempoh yang tidak lama di SAIS.

Rasanya istilah "ditindih" adalah perkataan yang popular dan mungkin ramai yang mempunyai pengalaman tersendiri. Aku pernah baca artikel penerangan saintifik di sebalik perkataan "ditindih" itu namun aku tidak ingin huraikannya di sini dan berbalik kepada cerita asal.

Kisah pertama, yang paling aku ingat ialah sewaktu kejadian tertidur selepas Asar kerana keletihan. Pabila ingin bangkit, tubuh dirasakan berat tak bermaya dan pabila dibuka kelopak mata, aku ternampak seolah-olah api yang tergantung. Aku pejamkan mata dan pabila dicelik sekali lagi masih nampak entiti yang sama cuma makin suram. Sekali lagi pabila dipejam dan dicelik kembali barulah keadaan kembali normal.

Kisah kedua, sekali lagi dikaitkan dengan isu "ditindih". Kali ini pada waktu malam, aku terasa seolan-olah ada sesuatu di depan mataku dan aku memang tidak buka kelopak mata dan meneruskan bacaan ayat Kursi sehingga tertidur dan sedar pada subuh hari.

Lembaga misteri melintasi di luar tingkap
Kisah ketiga, aku rasakan paling seram sepanjang aku berada di sekolah berasrama ini. Kejadian pada waktu senja, aku di ruang tamu dan tiba-tiba sekilas pandang ke arah tingkap (sebelah koridor) ada sesuatu melintas dengan laju. Aku sangkakan ilusi semata-mata. Hampir 2-3 minit aku berfikir sambil meneruskan larian di atas alat treadmill dan sah! Sekali lagi kelibat tersebut berlalu dan kali ini bertentangan arah. Berbekalkan keberanian yang ada, aku hampiri tingkap dan meninjau keadaan di luar. Tatkala terdengar suara pelajar-pelajar rasa lega sedikit tapi masih lagi memikirkan kejadian sebentar tadi.



Pandangan ustaz A ke arah tingkap ini
Kisah keempat, pada sebelah malam ustaz AA (warden bertugas dan kebiasaan hari bertugas beliau akan bermalam di rumah warden) datang ke bilikku dan berbual-bual ringkas. Aku yang menghadap ke pintu dan ustaz AA menghadap ke arah tingkap (belakangnya menghadap bukit). Tiba-tiba ustaz AA diam dan katanya ternampak kelibat melintas di tepi tingkap.



Begitulah sedikit sebanyak pengalaman kendiri yang dapat dikongsikan bukan niat untuk menakutkan tetapi mengajak pembaca berfikir kewujudan alam ghaib. Apapun yang berlaku, semuanya atas izin Allah s.w.t. Wallahu'alam

P/S: Suatu masa nanti akan ku paparkan pula kisah koleksi pengalaman pelajar-pelajar SAIS

1 comment: